KANGAR: Upah yang lumayan sehingga boleh mencapai 10 peratus daripada nilai barang menjadi pendorong kepada sindiket penyeludupan dadah tidak serik membawa masuk najis tersebut ke negara ini.
Malah seorang tekong sanggup memperjudikan nyawa dengan terjun ke laut bagi mengelak ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika membawa dadah dalam Op Khas pada jarak 0.4 batu nautika daripada barat pantai Sungai Padang, Sanglang di sini Jumaat lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 3 pagi itu, sebanyak 300 kilogram ketulan ganja dianggarkan bernilai RM1.5 juta yang cuba diseludup masuk ke negeri ini dari negara jiran itu berjaya dirampas pihak berkuasa.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, serbuan tersebut dibuat ke atas sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dikesan dikemudikan oleh seorang lelaki yang mencurigakan.
“Menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia, bot fiber tersebut telah menukar haluan dan memecut ke arah kawasan paya bakau, namun bot itu berjaya dipintas. Tekong tersebut nekad untuk terjun ke laut dan melarikan diri di kawasan paya bakau berhampiran.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut, kita menemukan 11 bungkusan guni yang mencurigakan dalam petak ikan bot tersebut.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 280 ketulan mampat ganja yang diikat kemas dengan plastik putih yang diseludup masuk dari negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, Zulinda memberitahu, kesemua barang rampasan termasuk bot dengan nilai keseluruhan RM1.53 juta tersebut dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya.
Menurutnya, suspek yang meloloskan diri tersebut dipercayai berasal dari selatan Thailand.
“Dadah ini dipercayai untuk diedarkan di pasaran utara tanah air meliputi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
“Kejayaan operasi kali ini hasil intipan dan risikan yang dilakukan selama beberapa minggu dalam usaha mematahkan sindiket penyeludupan antarabangsa di perairan negara ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis telah merampas dadah dan ketum bernilai RM31 juta dari awal tahun sehingga kini. – UTUSAN