Dapur Darurat Kak Zah jamu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Dapur Darurat Kak Zah jamu mangsa banjir

Makanan yang telah siap berbungkus diagihkan oleh sukarelawan menggunakan perahu secara terus kepada penduduk yang terkandas di rumah masing-masing di Rantau Panjang, Kelantan.-UTUSAN/ YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Seorang wanita memanfaatkan pengalaman 14 tahun memasak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) memulakan program kebajikan sendiri bagi membantu penduduk terkandas di rumah masing-masing kerana banjir.

Tidak berkira soal wang atau tenaga, Pauziah Che Wook, 63, mengambil inisiatif memulakan ‘Dapur Darurat Kak Zah’  dengan menyediakan makanan percuma yang diagihkan kepada mangsa banjir  tiga kali sehari sepanjang bah kali ini.

Pauziah atau lebih mesra dipanggil Kak Zah berkata, idea memulakan program itu hadir selepas melihat keperitan mangsa banjir yang terputus bekalan makanan dan terperangkap di rumah ditenggelami air berhari-hari.

“Dari situ saya mengambil inisiatif  memperkenalkan `Dapur Darurat Kak Zah’ bagi membantu meringankan beban mangsa yang terkandas dan tidak dapat berpindah ke PPS.

“Dapur Darurat Kak Zah’ ini digerakkan bersama dengan anak jati Rantau Panjang, Amran Abdul Rahman yang bertindak mencari dana bagi menyokong usaha kecil kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kak Zah memberitahu, urusan pihaknya dipermudah apabila ada penduduk setempat tampil secara sukarela membantu dalam proses penyediaan makanan.

“Makanan disediakan pagi, tengah hari dan malam. Makanan yang telah siap berbungkus akan diagihkan oleh sukarelawan menggunakan perahu secara terus kepada penduduk yang terkandas di rumah masing-masing.

“Walaupun penat, semua sukarelawan yang menjayakan projek ini gembira dapat membantu golongan memerlukan,” ujarnya.

Tambahnya, perkhidmatan itu tidak tertumpu pada musim banjir sahaja malah kini turut diperluaskan bagi membantu golongan memerlukan tanpa mengira musim.

“Antara golongan yang sering dibantu adalah anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan asnaf,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya