PUTRAJAYA: Dalang rokok seludup pek kecil yang hanya memuatkan lima batang rokok atau lebih dikenali sebagai ‘Kiddie Pack’ sedang diburu.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Abdul Latif Abdul berkata, pihaknya mendapati terdapat satu kes di Melaka membabitkan rokok pek kecil dan usaha mengesan dalang terbabit sedang dipertingkatkan.
Buat masa ini, katanya, belum ada lagi tangkapan besar berkaitan isu terbabit dan kes di Melaka pula, tidak membabitkan rampasan yang besar malah ia bercampur dengan rokok seludup 20 batang.
“Sindiket ini dipercayai membungkus semula kepada lima batang bagi memudahkan jualan dengan harga yang lebih rendah.
“Jika dalam bungkusan biasa iaitu 20 batang maka sudah pastinya pelajar sekolah tidak mampu membelinya dan sebab itulah, pembungkusan semula mensasarkan golongan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Abdul Latif berkata, bungkusan yang dibenarkan oleh kerajaan ialah 20 batang.
“Kerajaan tidak benarkan penjualan rokok secara buka ataupun dalam tin, apatah lagi, lima batang,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kartel rokok seludup memasarkan rokok dalam pek lima batang (Kiddie Pack) dengan harga serendah bawah RM2 sekotak dengan mensasarkan golongan remaja dan B40.
Menurut laporan berkenaan, rokok pek lima batang sekotak itu memang untuk pasaran remaja bawah umur yang baru berjinak dengan rokok dan masih mengharapkan duit saku daripada ibu bapa. -UTUSAN ONLINE