JOHOR BAHRU : Pasar Raya Econsave menafikan menjual daging import yang mempunyai kaitan dengan pembekal bahan mentah sedang disiasat pihak berkuasa.
Pengurusnya, Mas Imran Adam berkata, malah pihaknya tidak pernah membuat urusan secara langsung mahupun tidak langsung dengan sebuah syarikat pembekal terdapat di Senai.
“Pihak Econsave ingin menegaskan semua pembekal daging import kami iaitu Pts Food Distribution Sdn Bhd, Ipoh Food Service Sdn Bhd, Fatric Sdn Bhd dan Lucky Frozen Sdn Bhd mempunyai sijil halal yang sah.
“Pihak kami ingin menegaskan bahawa kita tidak pernah berurusan dengan pembekal yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Pasar Raya Econsave Taman Teratai, Skudai di sini hari ini.
Menurut Mas Imran, pihaknya tidak terkecuali menerima tempias ekoran pendedahan isu kartel daging kebelakangan melibatkan pasar raya itu yang mempunyai 20 cawangan di Johor.
“Ramai pelanggan bertanya tentang status halal daging import yang dijual. Kami beritahu pelanggan, daging import diambil dari sumber yang sah iaitu pengimport ada sijil halal.
“Pihak kami juga pamerkan sijil halal yang diperoleh pembekal di ruangan yang mudah dilihat agar pelanggan tidak ragu-ragu,” katanya.
Ketika ditanya tentang jualan daging import selepas pendedahan isu kartel daging, Mas Imran mengakui kemerosotan jualan sekitar 10 hingga 15 peratus di setiap cawangan.
“Secara purata setiap cawangan pasar raya mampu menjual sekitar dua hingga tiga tan daging import setiap bulan dan jumlah itu akan meningkat hampir 10 tan menjelang sambutan hari raya,” katanya.
Menurut beliau, semua daging yang diimport dari India menjalani pemeriksaan yang ketat oleh pihak berkuasa sebaik sahaja tiba di pelabuhan.- UTUSAN ONLINE