Daging di pasaran dijamin halal - KPDNHEP - Utusan Malaysia

Daging di pasaran dijamin halal – KPDNHEP

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan daging di pasaran negara ini disahkan halal oleh pihak berwajib.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, isu halal merupakan perkara sensitif bagi umat Islam di negara ini dan kementerian telah bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi mengekang aktiviti kartel daging yang menipu logo halal pada bungkusan daging import yang berlaku di Johor baru-baru ini.

Jelasnya, pengguna tidak perlu risau kerana pihaknya mempunyai rekod dan telah mengesan kepada pengedar mana daging tersebut diedarkan untuk proses sitaan.

“Kita ada rekod pengedaran daging tersebut jadi semua bekalan daging tidak halal ini kita telah sita untuk dijadikan bukti di mahkamah. Dalang aktiviti ini juga akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.

“Setakat hari ini, penguat kuasa KPDNHEP telah menjalankan 29 pemeriksaan terhadap pemborong serta 130 pemeriksaan dalam kalangan peruncit. Kita harap perkara ini tidak berulang lagi di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembongkaran taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu di sebuah gudang di Senai, Johor.

Terdahulu, Rosol merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 peringkat Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu Rosol memaklumkan, sebanyak 31 notis telah dikeluarkan kepada peniaga yang disyaki melakukan pencatutan harga bawang menerusi 336 pemeriksaan di seluruh negara sejak akhir bulan lalu.

“Bekalan bawang dari India terhad buat masa ini dan sudah menjadi kebiasaan harga bawang dari negara lain akan turut meningkat. Bagaimanapun, kita ada pengiraan jadi kita akan memeriksa invois peniaga daripada pemborong bagi memastikan mereka tidak mengambil untung berlebihan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya