KOTA TINGGI: Seramai 35 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia berjaya ditangkap dalam Ops Benteng di satu lokasi perairan berhampiran Bandar Penawar di sini semalam.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, mereka berjaya ditangkap semasa cubaan keluar dari Malaysia menggunakan laluan lorong tikus pada pukul 11.20 malam.
Kata kenyataan itu, aktiviti itu dikesan sekitar pukul 10.45 malam setelah kelihatan dua bot yang berlegar di Pulau Che Kamat berhampiran Pantai Kampung Sungai Rengit.
“Susulan itu Tim Quick Reaction Force (QRF) telah membuat serbuan dan berjaya menahan PATI bersama barang rampasan.
“Malah operasi itu berjaya merampas dadah jenis Syabu seberat 750 gram,” katanya kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, keseluruhan rampasan bernilai RM110,422 yang terdiri daripada wang tunai, telefon pintar, barang kemas, jam tangan dan dadah.
Kesemua PATI itu katanya, ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen. -UTUSAN ONLINE