JOHOR BAHRU: Situasi Covid-19 di negeri ini masih lagi membimbangkan meskipun kes jangkitan semalam menyusut ke dua angka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, R. Vidyananthan berkata, masyarakat justeru dinasihatkan mengurangkan aktiviti sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, sekiranya sering berulang-alik ke kawasan zon merah, mereka digalakkan menjalani ujian makmal bagi mengesan Covid-19 bagi mengurangkan risiko penularan di dalam kalangan keluarga dan komuniti.
“Kebelakangan ini juga didapati terdapat peningkatan kes berlaku di kalangan warga emas kerana lebih lemah daya tahan terhadap sesuatu penyakit.
“Justeru itu, apabila dijangkiti Covid-19, peluang untuk pulih adalah tipis. Jangkitan terhadap warga emas boleh menyebabkan komplikasi teruk dan boleh membawa maut akibat tidak mampu melawan penyakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Vidyananthan berkata, setelah beberapa menunjukkan penurunan kes baharu, kes positif Covid-19 di negeri ini kembali mencatatkan peningkatan dengan 67 kes baharu.
Katanya, ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 2,835 kes sehingga semalam.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,720 kes telah pulih manakala 1,075 kes yang masih aktif telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital. Kumulatif kematian setakat ini adalah sebanyak 32 kes.
“Sehingga semalam, kumulatif kluster aktif di negeri Johor adalah sebanyak 20 kluster antaranya Kluster Cahaya Mahsuri, Kluster Desa Idaman dan Kluster Langkasuka,” katanya.
Vidyananthan berkata, pengesanan kontak rapat dan ujian Covid-19 masih lagi giat dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah terlibat.
Jelasnya, peningkatan kes disebabkan pencarian kes secara aktif (ACD) dan aktiviti survelans yang dipertingkatkan di dalam mengekang penularan secepat mungkin.
Katanya, pemerhatian aktiviti ACD mendapati kerap berlaku kes bergejala tidak mendapatkan rawatan dengan segera. -UTUSAN ONLINE