Cop pasport: Pegawai Imigresen didenda RM30,000 - Utusan Malaysia

Cop pasport: Pegawai Imigresen didenda RM30,000

TERTUDUH, Muhammad Shafiq Suboh ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas kesalahan menerima suapan berhubung cop pasport warga asing di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pegawai Jabatan Imigresen gred KP19 didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah menerima suapan bagi mendapatkan perakuan cop keluar masuk pasport warga asing, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Shafiq Suboh, 29, yang membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Jabatan Imigresen Johor didapati menerima suapan daripada seorang individu bernilai RM360 sebagai dorongan bagi mendapatkan perakuan cop keluar masuk pasport warga asing tanpa perlu keluar dari negara.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga pula, Muhammad Shafiq turut didapati melakukan kesalahan sama melibatkan jumlah suapan masing-masing sebanyak RM320 dan RM800.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh menerusi akaun CIMB Bank Berhad di Taman Mutiara Melaka, Batu Berendam membabitkan tiga transaksi berasingan pada Julai hingga September 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan akan menimang cahaya mata sulung selepas berkahwin pada Mac lalu, selain isterinya memerlukan sokongannya ekoran sebelum ini pernah mengalami depresi. 

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh ‘menggadaikan’ keselamatan negara, selain kes turut mendapat perhatian masyarakat.

Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohd. Nasir kemudian menetapkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda bagi setiap tiga pertuduhan pilihan berkenaan. 

Pada 16 November lalu, SPRM telah menjalankan Op Selat dengan kerjasama Jabatan Imigresen yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya