Coklat import habis diborong di sebuah premis sahaja

Coklat import habis diborong di sebuah premis sahaja

SALAH sebuah rak coklat yang kosong selepas didakwa diserbu oleh pelancong susulan kelonggaran larangan rentas negeri di Kuah, Langkawi hari ini. - FOTO/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Bekalan coklat pelbagai jenama import yang didakwa habis diborong pelancong di pulau peranginan itu dipercayai berlaku di sebuah premis di pekan Kuah di sini.

Tinjauan yang dilakukan di beberapa premis bebas cukai lain terletak berhampiran mendapati bekalan coklat termasuk jenama import masih ada.

Sejak semalam, tular beberapa gambar dalam Facebook yang memaparkan rak jualan coklat pelbagai jenama import yang kosong di sebuah premis di Langkawi.

Pekerja premis itu yang enggan dikenali memberitahu, kebanyakan coklat yang kehabisan stok adalah daripada jenama terkenal.

“Biasanya coklat jenama popular itu akan diborong dalam kuantiti yang banyak oleh pelanggan.

“Stok coklat jenama lain masih ada dan bagi coklat yang habis, stok baharu akan sampai pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang pelancong dari Selangor, Rohani Embong, 56, berkata, ada beberapa jenama coklat yang ingin dibelinya telah kehabisan stok di premis berkenaan.

“Saya selalunya ke kedai ini untuk membeli coklat dan rasa sedikit kecewa kerana ada beberapa jenama coklat yang saya inginkan telah habis,” katanya.

Kejadian sama pernah berlaku pada Ogos lalu apabila satu jenama coklat import kehabisan stok.

Pulau Langkawi kini meriah apabila jumlah pelancong meningkat selepas kerajaan membenarkan orang ramai merentas negeri kecuali bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada awal bulan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya