Campak dadah dalam laut elak diberkas - Utusan Malaysia

Campak dadah dalam laut elak diberkas

ABD. Razak Mohamed (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah dalam sidang akhbar berhubung kejayaan mematahkan kegiatan penyeludupan dadah di perairan Gertak Sanggul. Jumlah dadah berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM10.53 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysai) menumpaskan aktiviti penyeludupan dadah bernilai RM10.53 juta yang dibawa masuk dari Indonesia menggunakan laluan laut di Pulau Betong, Balik Pulau, di sini Khamis lalu.

Operasi tersebut dijalankan sepasukan enam anggota bot pemintas Maritim Malaysia negeri menerusi Op Pertiwi yang dijalankan di perairan Teluk Kumbar hingga ke Gertak Sanggul, kira-kira pukul 8.20 malam.

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot pemintas itu terserempak dengan sebuah bot rekreasi yang berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar 3.0 batu nautika Barat Daya Pulau Betong.

Katanya, suspek terdiri daripada dua lelaki gagal memberikan kerjasama ketika didekati dan cuba meloloskan diri dengan memandu bot secara berbahaya.

“Kita mengejar bot dinaiki suspek kira-kira 30 minit dan suspek dilihat mencampakkan beberapa objek ke dalam laut selain bertindak terjun bagi cubaan meloloskan diri. Bot yang dinaiki dibiarkan memecut laju sebagai helah untuk tidak ditangkap.

“Bagaimanapun, anggota Maritim Malaysia bertindak pantas mengambil objek tersebut sebelum tenggelam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia negeri, di sini pagi ini.

Menurut Abd. Razak, hasil pemeriksaan di dalam lapan beg pakaian warna hitam menemukan sebanyak 240 peket dadah jenis Methamphetamine manakala satu beg berisi tujuh bungkus pil ekstasi.

Ujarnya, dadah jenis Methamphetamine itu dianggarkan seberat 240 kilogram (kg) manakala ekstasi dengan anggaran 9.3kg.

Beliau memberitahu, tangkapan ke atas dua suspek lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an itu dilakukan selepas 16 jam operasi dijalankan iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari keesokannya.

“Suspek diselamatkan nelayan bot pukat tunda dan nelayan pantai selepas terapung di lokasi berasingan di perairan berhampiran sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN