HULU TERENGGANU: Pergolakan politik di Perak membabitkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi gambaran yang budaya `cah keting’ atau `peteh keting’ masih berleluasa dalam kalangan pemimpin parti politik.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata perkara tersebut tidak seharusnya berlaku ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dan bencana banjir.
Beliau yang kesal dengan krisis luar jangka itu mendakwa ia berpunca akibat sikap segelintir individu gilakan kuasa atau tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri sedia ada.
“Secara peribadi saya terkejut kerana di saat kita berusaha ke arah mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan parti-parti Melayu dan Islam tiba-tiba sesuatu di luar dugaan berlaku.
“Walaupun sebelum ini kita ada mendengar desas-desus itu tetapi kepemimpinan UMNO memberi jaminan perkara tersebut tidak akan berlaku tetapi semalam kita dikejutkan dengan pergolakan politik di Perak,” katanya.
Katanya kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa banjir di samping warga emas dan pesakit terlantar di Kampung Pantai Ali di sini, hari ini.
Beliau mengulas kegagalan Ahmad Faizal mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu dalam undi usul percaya terhadapnya semalam.
Dalam undian daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu yakin pergolakan seumpama itu tidak berjangkit ke negeri-negeri lain kerana situasi tersebut hanya akan menyebabkan rakyat muak dan benci terhadap pemimpin politik.-UTUSAN ONLINE