SEGAMAT: Buaya yang menjadi ‘tetamu tidak diundang’ dan mengeluarkan bunyi merengus di halaman rumah memeranjatkan sebuah keluarga di Kampung Berata di sini.
Menurut Rafeah Salim, 60, kehadiran haiwan itu hanya disedari anaknya, Rizal Fadzil, 30, yang sedang nyenyak tidur dalam biliknya di bahagian depan rumah.
“Anak saya terdengar bunyi bising seperti orang melibas barang lebih kurang pukul 4.35 pagi. Dia ingat ada orang ingin mencuri motosikalnya.
“Setelah beberapa minit bunyi itu tidak reda dan mengganggu tidurnya, anak saya kemudian bangun dan membuka lampu halaman rumah untuk memeriksa punca bunyi bising itu.
“Namun dia terkejut apabila melihat seekor buaya yang sedang ternganga betul-betul di halaman rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Rafeah, buaya sepanjang tiga meter itu dipercayai datang dari sebuah lombong berhampiran Kampung Berata.
Katanya, haiwan berkenaan terasa terancam dengan cahaya lampu dan suara ahli keluarga Rafeah lalu menyembunyikan di sebalik pokok pisang berhampiran.
“Kami segera menghubungi balai bomba berhampiran kerana bimbang keselamatan ahli keluarga,” katanya.
Rafeah memaklumkan, dia amat terkejut dengan kehadiran ‘tetamu’ itu di halaman rumahnya kerana ia tidak pernah berlaku sejak menetap di situ.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hazim Abd. Razak berkata, buaya itu berkemungkinan besar terganggu habitatnya berikutan musim tengkujuh sejak kebelakangan ini. – UTUSAN