Bot nelayan Vietnam ceroboh perairan Terengganu ditahan

Bot nelayan Vietnam ceroboh perairan Terengganu ditahan

BOT nelayan Vietnam yang ditahan di kedudukan 133 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, Terengganu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Terengganu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam Op Kuda Laut semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot bersama tiga kru termasuk tekong berusia antara 28 hingga 30 tahun itu ditahan di kedudukan 133 batu nautika dari Kuala Terengganu, kira-kira pukul 11 pagi.

Katanya, kesemua yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah di samping tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia. 

“Kita turut menemui bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta.

“Bagaimanapun tiada hasil laut ditemui dalam bot,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Muhammad Suffi percaya bot itu merupakan pembekal diesel dan membawa peralatan menangkap ikan kepada nelayan lain.

Katanya, bot itu kemudian ditunda ke jeti Maritim Malaysia Terengganu dan kesemua kru dibawa untuk menjalani proses saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia di samping Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

Dalam pada itu, Muhammad Sufi berkata, sejak Op Kuda Laut dilancarkan pada Jun 2020, pihaknya berjaya menahan 61 bot nelayan Vietnam bersama 699 kru termasuk tekong dengan nilai rampasan sebanyak RM35 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya