KEMAMAN: Pemilik kucing terpaksa mendapatkan khidmat bomba bagi menyelamatkan 16 haiwan peliharaannya selepas kediamannya di Perumahan Taman Rakyat Telok Kalong di sini dinaiki air sehingga paras dada.
Jusnata Aina Mohamad, 39, banjir yang berlaku dengan pantas menyebabkan dia tidak sempat memindahkan kesemua si comel tersebut.
“Semasa air naik saya dan anak-anak fikir untuk menyelamatkan barang-barang dahulu dan mengambil kucing kemudian.
“Kurang 30 minit selepas keluar, saya dapati air sudah memasuki rumah hingga ke paras pinggang dan mujurlah saya terserempak dengan bomba yang membuat rondaan lalu meminta mereka membantu menyelamatkan kucing-kucing di rumah,” katanya kepada pemberita.
Jusnata Aina berkata, kesemua 16 kucingnya itu dibawa bersama ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga banjir pulih.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, pasukannya terpaksa mengharung air sejauh 500 meter untuk menyelamatkan haiwan tersebut.
“Rumah mangsa agak jauh ke dalam dan tidak dapat dimasuki dengan kenderaan berikutan paras air yang dalam, jadi kita terpaksa menggunakan bot untuk membawa kesemua kucing-kucingnya itu.
“Kita bernasib baik kerana tiba awal sebab sangkar kucing mulai dimasuki air dan kucing yang berada dalam rumah mula menyelamatkan diri dengan memanjat almari,” katanya.
Sementara itu, Rosmadi Rosli, 41, yang tinggal di kawasan perumahan sama turut membawa tiga arnab dan seekor burung puyuh peliharaannya ke tempat yang lebih selamat.
“Buat sementara waktu saya akan menempatkan haiwan kesayangan saya ke rumah adik di kampung berhampiran,” katanya. -UTUSAN ONLINE