JOHOR BAHRU: Bantuan tambahan khas Covid-19 kepada rakyat Johor yang terkesan akibat pandemik berkenaan disediakan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan boleh dimohon bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, langkah berkenaan ekoran keluhan masyarakat negeri ini yang terhimpit dan terjejas termasuk kehilangan kerja.
“Seramai 17,000 individu terjejas akibat Covid-19 di negeri ini dan akan mendapat manfaat bantuan tambahan khas.
“Individu di Johor terjejas diminta memohon bantuan berkenaan secara dalam talian menerusi Google Form disediakan mengikut daerah di portal rasmi MAINJ atau laman Facebook MAINJ dengan tarikh permohonan bermula hari ini hingga 14 Disember ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, antara syarat kelayakan bantuan tambahan khas itu adalah perlu bermaustatin di Johor untuk tempoh tiga tahun berturut-turut selain bukan penerima bantuan bulanan MAINJ. – UTUSAN ONLINE