ALOR SETAR: Pelakon, pelawak dan penulis lirik popular, Bob Lokman menganggap beliau mendapat peluang kedua untuk hidup selepas berjaya menjalani pembedahan baru-baru ini.
Beliau menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, 2 Disember lepas.
Bob, 56, yang dibenarkan keluar wad semalam memberitahu, beliau bersyukur dan gembira kerana prosedur itu berjalan lancar.
“Alhamdulillah, petang semalam saya dibenarkan keluar wad. Oleh itu, saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu saya dan menderma. Mereka sangat berjasa kepada saya.
“Kesihatan saya bertambah baik dan esok saya akan membuat rawatan susulan di HSB sebelum pulang ke Kelantan. Setiap bulan saya akan ke sini untuk pemeriksaan jantung,” katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia pada 3 Disember lalu melaporkan Bob Lokman menjalani pembedahan memasukkan alat IACD untuk menstabilkan denyutan jantungnya di HSB di sini.
Beliau sebelum ini menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan akibat komplikasi jantung.
Penderitaannya mendapat perhatian apabila dia memerlukan bantuan sebanyak RM60,000 bagi menampung kos pembedahan untuk memasang alat tersebut.
Menurut Bob, sebagai usaha untuk memberi balik kepada anggota masyarakat terutama mereka yang senasib dengannya beliau merancang untuk menubuhkan satu tabung khas dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care.
“Idea ini timbul ketika mendapat rawatan di HSB apabila saya lihat banyak yang senasib dengan saya. Di saat kecemasan mereka tidak ada wang untuk prosedur ini.
“Saya akan berbincang dengan NGO yang membantu saya ini untuk menubuhkan tabung berkenaan kerana kos pembedahan ini adalah antara RM65,000 hingga RM120,000. Jika ada ingin bantuan kita bantu,” katanya yang menghidap masalah jantung sejak 1998.
Dalam pada itu, kata Bob, kesempatan untuk kembali sihat akan dipergunakan sebaik-baiknya dalam berdakwah.
“Hari ini, saya melawat tok guru, Abd Majid Abu Bakar di Maahad Tarbiah Derang, Pokok Sena yang kurang sihat dan dengar amanatnya,” katanya.
Selain itu, Bob juga berkesempatan bersarapan di Restoran Roti Canai Janda di Kampung Baru Derang, Pokok Sena di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE