Bimbang banjir, wanita berpantang pindah ke PPS - Utusan Malaysia

Bimbang banjir, wanita berpantang pindah ke PPS

SUHAILA Ariffin dan bayi lelakinya yang berusia tujuh hari dibawa ke PPS Padang Kubu di Kemaman buat sementara selepas jalan masuk ke rumahnya ditenggelami banjir, hari ini.-UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Wanita yang baharu seminggu melahirkan cahaya mata ketiganya terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Padang Kubu di sini hari ini selepas jalan utama ke rumahnya banjir.

Suhaila Ariffin, 26, dari Sungai Mas dinasihatkan kakitangan jabatan kesihatan untuk berpindah bagi memudahkan proses pemantauan terhadap dirinya dan bayi.

Urusan perpindahan ibu dan bayi lelaki itu dikendalikan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh dengan menaiki lori ke PPS tersebut.

“Rumah saya tidak terjejas banjir tetapi saya perlu berpindah untuk memudahkan petugas kesihatan memeriksa bayi selama 10 hari berturut-turut.

“Laluan masuk ke rumah saya dinaiki air lebih satu meter dan arus yang deras,” katanya kepada pemberita.

Menurut Suhaila, selepas ini dia merancang berpantang sementara di rumah bapanya yang terletak di kampung sama sekali gus tidak perlu tinggal di PPS.

Sementara itu, seorang peniaga di Perumahan Taman Rakyat Telok Kalong tetap meneruskan perniagaannya walaupun kedai runcit dan rumahnya dinaiki air separas betis.

Rahim Ibrahim, 52, berkata, operasi kedai runcit miliknya berjalan seperti biasa bagi memberi peluang kepada penduduk untuk mendapatkan barangan keperluan berikutan tiada kedai lain dibuka di kawasan itu. 

“Premis saya dinaiki air pukul 1 petang tadi, mulanya fikir mahu tutup kedai tetapi, pelanggan datang tidak putus-putus membeli roti dan makanan lain. 

“Saya kasihan kepada pelanggan sebab ada yang tidak sempat memasak selepas rumah dinaiki air, jadi dengan adanya kedai saya sekurang-kurangnya mereka boleh mengalas perut dahulu dengan membeli makanan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Rahim berkata, kejadian banjir itu merupakan yang pertama dialami sejak tiga tahun menghuni di perumahan tersebut sekali gus bimbang nasib barangan jualan jika bencana besar berlaku. 

“Semoga banjir kali ini tidak besar sebab saya tidak tahu di mana mahu letak barang-barang jualan, kerana biasanya hanya perumahan di bahagian hadapan sahaja yang dinaiki air dan penghuni lain tidak terkesan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya