Bernas proaktif bantu pesawah dan golongan terjejas akibat Covid-19 - Utusan Malaysia

Bernas proaktif bantu pesawah dan golongan terjejas akibat Covid-19

NORSALLEHUDIN Adnan (dua dari kanan) diiringi Rosniza Baharum (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Halijah Dahlan, 61 (dua dari kiri) di Rumah Pemulihan Banjir (RPB) Sepayang di Rompin, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Penularan wabak Covid-19 yang masih tiada penghujungnya memberi kesan kepada banyak pihak termasuk pesawah dan nelayan.

Menyedari hal itu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bertindak proaktif membantu meringankan beban golongan itu di daerah ini dengan menyalurkan sumbangan keperluan sekolah dan keperluan makanan.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Bernas, Rosniza Baharum berkata, sumbangan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bernas itu melibatkan pemberian sumbangan keperluan persekolahan kepada 100 murid sekolah dan keperluan makanan kepada 100 keluarga asnaf di daerah ini.

“Diharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberikan keceriaan kepada para pelajar dan menyuntik semangat mereka untuk kembali meneruskan sesi persekolahan pada tahun hadapan setelah sekian lama terkesan akibat penularan wabak berbahaya ini.

“Selain menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, program CSR ini turut menjadi satu medium bagi Bernas untuk terus menyantuni masyarakat terutamanya golongan pesawah dan ia sekali gus mengukuhkan silaturahim antara syarikat dan penduduk setempat,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk di Kampung Sepayang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Eksekutif Operasi Kilang Bernas Rompin, Norsallehudin Adnan dan Timbalan Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat Bernas, Mohd. Zulhelmy Ismail.

Menurut Rosniza, Rompin merupakan lokasi pertama program ‘Kembali Ke Sekolah Bernas pada tahun ini dan ia akan diperluaskan ke beberapa negeri lain dari semasa ke semasa.

Beliau memberitahu, penganjuran program yang rata-ratanya melibatkan keluarga pesawah dan nelayan itu bertujuan meringankan tanggungan keluarga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah terutamanya bagi menyediakan persiapan persekolahan anak-anak.

“Seramai 100 pelajar ini menerima barangan keperluan sekolah seperti set lengkap pakaian seragam, beg serta alat tulis dan kami juga mengenal pasti 15 pelajar Orang Asli dari kawasan berdekatan untuk menerima sumbangan.

“Selain itu, 100 keluarga asnaf dari Kampung Sarang Tiong, Kampung Sepayang, Merchong dan Pontian pula menerima sumbangan berupa pek makanan yang mengandungi barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, minyak masak, biskut dan makanan dalam tin selain wang saku,” ujarnya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya