Beritahu ‘nak pergi’ sebelum ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Beritahu ‘nak pergi’ sebelum ditemukan lemas

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan lemas di Sungai Duyong berdekatan Kampung Tambak Sebelong, Melaka. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lelaki yang mengalami masalah kesihatan sempat memberitahu ibunya ingin ‘pergi’ dan tidak mahu menyusahkan keluarganya lagi sebelum dia ditemukan lemas di Sungai Duyong berdekatan Kampung Tambak Sebelong, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, mangsa, Muhammad Sidek Abd. Karim, 29, pada mulanya dicari ahli keluarga sebaik dia keluar daripada rumah salah seorang abangnya kira-kira pukul 4 pagi tanpa menyatakan arah tuju.

Bimbang kejadian tidak diingini, abangnya kemudian keluar meronda sekitar rumah mereka sebelum menemukan motosikal jenis Honda EX5 dinaiki mangsa berada di atas jambatan berdekatan sungai tersebut.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Khairi berkata, mereka melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa kerana khuatir sekiranya adiknya terjatuh ke dalam sungai tersebut.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah semalam dan arwah ada meninggalkan pesanan kepada ibu kami dengan berkata ‘adik tak nak susahkan mak lagi, tak nak susahkan adik-beradik kita’.

“Pada masa sama adik juga ada suruh mak saya duduk dengan abang kami di Sungai Udang jika dia sudah tiada selepas arwah beritahu sudah mahu pergi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Terdahulu, operasi pencarian oleh bomba di dasar sungai yang berkedalaman kira-kira lima meter pada mulanya tidak menemukan apa-apa sebelum tidak lama kemudian mereka menjumpai selipar berwarna hitam dipakai mangsa kira-kira 100 meter dari motosikal miliknya.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 1.50 petang ini, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tersangkut pada pokok bakau oleh pasukan bomba yang melakukan operasi pencarian bersama beberapa agensi lain.

Tambah Khairi, Allahyarham merupakan anak keempat daripada lima beradik dan masih mendapatkan rawatan setiap bulan bagi merawat masalah kesihatan mental yang dialaminya.

“Sebelum ini, arwah sihat sahaja namun akibat kemalangan tujuh tahun lalu dan mengalami pendarahan di kepala, kesihatannya terganggu. Walaupun keadaannya begitu, dia tidak pernah ganggu orang lain dan hanya duduk di rumah serta rajin mengaji al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Khairul  Nizam Mohamad Anuar berkata, mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian ditemukan kira-kira 150 meter dari jambatan berkenaan yang menghala ke arah pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada keluasan sekitar 200 meter di bahagian kiri dan kanan jambatan dengan melakukan pencarian di permukaan sungai sebelum operasi penyelaman dilakukan,” katanya.

Ujar beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya