PETALING JAYA: Penceramah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful memohon semua pihak memberi ruang kepadanya untuk dia memulihkan jiwa dan mentalnya selepas 18 hari direman dan didakwa atas tiga dakwaan termasuk merogol.
Syed Shah Iqmal yang dilepaskan selepas diikat jamin ditemui di pekarangan Mahkamah Petaling Jaya di sini berkata, dia berasa agak sedih dengan perkara yang menimpanya tetapi menyifatkan dugaan itu sebagai teguran Allah kepadanya.
“Sepanjang ditahan, saya termenung dan bertanya atas dugaan yang diberikan, tetapi reda dengan ketentuan yang diberikan Allah dan pada masa sama mengikuti sahaja prosedur polis dan mahkamah.
“Saya hanya berdoa kepada Allah semoga permudahkan urusan dan sebaik-baik manusia adalah orang yang meminta maaf, manakala yang terbaik pula adalah yang memaafkan. Oleh demikian, saya memaafkan mereka yang pernah mengutuk saya.
“Apa yang saya ingin lakukan selepas ini ialah meluangkan masa bersama keluarga dan makan bersama mereka. Saya hendak duduk rehat dan bertenang dahulu untuk lepaskan rindu,” katanya.
Terdahulu, Syed Shah Iqmal dilepaskan selepas semua urusan ikat jamin bernilai RM35,000 di kedua-dua mahkamah termasuk di Mahkamah Shah Alam selesai dibayar semalam.
Syed Shah Iqmal sebelum ini ditahan pada 27 November selepas seorang bekas jurujual membuat laporan polis didakwa dirogol oleh penceramah selebriti itu, namun susulan laporan polis itu, terdapat tujuh lagi mangsa tampil membuat laporan antaranya guru dan pelajar.
Namun, selepas 13 hari direman, pada 10 Disember lalu, dia dituduh atas dua tuduhan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di Mahkamah Petaling Jaya manakala dakwaan merogol seorang wanita di Mahkamah Shah Alam.
Sementara itu, Peguam, Syed Amirul Syed Edros berkata, bayaran ikat jamin anak guamnya itu telah dijelaskan oleh abang, Syed Shah Iqram dan pengurusnya, Mohd. Aizat Jaafar.
Menurut Syed Amirul, bayaran ikat jamin terhadap anak guamnya itu telah dibayar semalam sebelum dibawa dari Pusat Tahanan Reman Sementara Beranang, Selangor selepas penjaminnya tidak sempat berbuat demikian susulan pejabat ditutup.
Mengulas mengenai gelaran da’i yang dimenangi menerusi satu program realiti televisyen swasta, Syed Shah Iqmal berkata, ia adalah sekadar gelaran sahaja dan tidak menjadi masalah sekiranya dilucutkan. -UTUSAN