MELAKA: Pembelian kereta baharu Toyota Camry untuk kegunaan barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang dipersoalkan oleh Pemuda Pakatan Harapan (PH) semalam diluluskan melalui Belanjawan kerajaan tersebut pada 2019.
Bekas Exco kerajaan PH yang kini menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN), Datuk Muhamad Jailani Khamis mendedahkan, pembelian kereta Toyota Camry itu telah diluluskan pembeliannya ketika kerajaan PH memerintah sebelum ini.
Beliau yang kini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri berkata, kerajaan PH meluluskan pembelian kereta baharu dalam Belanjawan 2019 kerana mendapati sudah tiba masanya kereta jenis Honda Accord yang digunakan sebelum ini sudah cukup tempoh masa untuk diganti baharu.
“Kalau kata kita tukar atas keputusan apa? Atas dasar bajet apa? Ini semua adalah keputusan kerajaan lepas (PH) yang buat bajet ini dan kenapa kerajaan PN pula hendak dipersalahkan.
“Orang dah tak jadi kerajaan lagi maka timbul rasa sakit hati. Saya faham tapi dalam sakit bukankah elok Pemuda PH katakan yang benar, jangan bohong dan jangan buat fitnah,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Melaka Golf Championship 2020 merebut Piala Ketua Menteri Melaka di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Sheng Tai International, Tyson See dan Pengurus Besar Golf (Malaysia) Sdn. Bhd., Andrew Ng.
Muhamad Jailani mengulas kenyataan Pemuda PH yang mempersoalkan mengenai pembelian beberapa buah kereta baharu untuk kegunaan Exco Kerajaan Negeri Melaka ketika rakyat dihimpit dengan bebanan ekoran pandemik Covid-19.
Ujar mereka lagi, kerajaan negeri sewajarnya mengutamakan kepentingan rakyat dengan berusaha memulihkan ekonomi dan mewujudkan peluang kerja baharu kepada golongan muda yang semakin ramai menganggur.
Mengulas lanjut, Muhamad Jailani menegaskan, pihaknya tidak boleh mendedahkan dokumen kelulusan daripada kerajaan PH kerana berpegang kepada sumpah kerahsiaan selepas mengangkat sumpah menganggotai barisan Exco ketika PN mengambil alih tampuk pemerintahan.
“Namun, saya minta wakil rakyat PH untuk mencabar saya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi. Sebenarnya, mereka (PH) yang nak pakai kereta baharu cuma tidak sempat nak pakai. Apa boleh saya buat? Terimalah ketentuan Allah SWT serta qada dan qadar.
“Awak (PH) yang buat keputusan untuk menukar kereta baharu yang digunakan Exco melalui Bajet 2019 tapi kini salahkan kita (PN) sebab beli kereta baharu untuk barisan Exco,” ujarnya lagi.
Muhamad Jailani menambah kereta Toyota Camry yang kini digunakan barisan Exco adalah disewa daripada Syarikat Panorama Melaka Sdn. Bhd. dan bukannya kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan untuk membeli kenderaan tersebut. -UTUSAN ONLINE