KANGAR: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2021 dengan defisit sebanyak RM67.52 juta yang mana perbelanjaan mengurus dijangka mencapai RM175.69 juta berbanding anggaran hasil sebanyak RM108.17 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, defisit yang agak besar berbanding kira-kira hanya satu peratus tahun lalu itu tidak dapat dielak dan akan menyebabkan negeri terpaksa menanggung beban sama ada dalam bentuk geran Kerajaan Persekutuan atau pun hutang.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, belanjawan defisit bukannya sesuatu yang buruk kerana jumlahnya adalah terkawal dan tidak melebihi daripasa apa yang negeri mampu tanggung.
“Ia betul-betul berhemah dan kita melihat pelaburan yang dibuat mempunyai kemampuan untuk menjana hasil pada masa depan.
“Apa yang kita lakukan adalah untuk menjana hasil yang lebih besar untuk jangka masa panjang berbanding apa yang kita sudah ada pada masa ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perbentangan Belanjawan Perlis 2021 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Kangar, di sini hari ini.
Sementara itu, Azlan memberitahu, Bantuan Khas Kewangan (BKK) turut diberikan sebanyak RM800 kepada semua penjawat awam di negeri ini.
“Golongan pesara juga akan mendapat sebanyak RM400, manakala golongan pesara yang dilantik semula secara kontrak pula akan menerima sebanyak RM500. Kesemua bayaran akan dibuat pada Januari tahun depan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE