IPOH: Selepas dibentang dan dibahaskan sejak 16 Disember lalu, Belanjawan Perak 2021 berjumlah RM1.215 bilion diluluskan sebulat suara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Usul yang diluluskan di bawah Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2021 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2021 mendapat sokongan sebulat suara oleh kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) .
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad membuat penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri 2021 sebelum ia diluluskan.
Yang Dipertua DUN, Datuk Muhammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan Belanjawan Negeri Perak 2021 diluluskan selepas bacaan ketiga.
Selepas meluluskan Belanjawan 2021, Muhammad Zahir mengumukan sidang DUN ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, Belanjawan 2021 sangat penting kerana ia merangkumi pelbagai langkah dan inisiatif kerajaan untuk menjana semula ekonomi dan memulihkan kesejahteraan rakyat yang kini sedang diuji dengan hambatan pandemik Covid-19.
Menurutnya, perjalanan perbahasan Belanjawan berlangsung dalam keadaan tenang manakala isu-isu yang dibangkitkan bersifat objektif dan diselitkan dengan idea-idea yang konstruktif.
“Saya percaya, ia adalah manifestasi kepada keinginan setiap daripada kita di dewan yang mulia ini untuk melihat Belanjawan tahun hadapan memberi jawapan kepada keluh-kesah rakyat serta mengembalikan pacuan ekonomi negeri ke landasannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE