RANTAU PANJANG: Sebuah keluarga dari Kampung Lubok Gong Hilir di sini nekad mengeluarkan modal sebanyak RM2,000 bagi membina titi di kawasan kediaman mereka supaya tidak perlu mengharungi banjir.
Rosdi Abdullah, 58, berkata, titi setinggi 1.5 meter itu dianggap sebagai ‘penyelamat’ kerana memudahkan urusan hariannya untuk keluar membeli barangan dapur ketika kawasan rumah mereka masih ditenggelami air akibat limpahan Sungai Golok.
“Titi sejauh 100 meter ini dibina secara bergotong-royong bersama sanak saudara. Kami mengambil masa hampir sehari untuk menyiapkan titi ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rosdi memberitahu, titi tersebut bukan sahaja untuk kegunaan keluarganya malah turut dimanfaatkan dua keluarga yang berjiran dengannya. – UTUSAN ONLINE