Bekas pasangan suami isteri ditahan, dadah RM 2.15 juta dirampas - Utusan Malaysia

Bekas pasangan suami isteri ditahan, dadah RM 2.15 juta dirampas

SAIFUL AZLY KAMARUDDIN Saiful Azly Kamaruddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Satu sindiket pengedaran dadah tumpas apabila bekas pasangan suami isteri ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah kondominium di Cheras, di sini, kelmarin.

Hasil penahanan itu, pelbagai dadah bernilai RM2.15 juta dirampas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 5.30 petang, seorang lelaki berusia 66 tahun itu ditahan di kawasan parkir sekitar kondominium berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap suspek membawa kepada rampasan dadah jenis ketamin seberat 16.5 gram.

“Hasil soal siasat, kami kemudiannya pergi ke sebuah unit di kondominium terbabit kira-kira pukul 7.30 malam sebelum menahan seorang wanita berusia 45 tahun

“Pemeriksaan dilakukan di kediaman itu menemukan beberapa jenis dadah iaitu ketamin seberat 5.6 kilogram (kg), serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 29 kg serta cecair MDMA.

“Malah, kami juga menemukan 1,000 pil Erimin 5 serta 1,900 pil ekstasi dalam sebuah kereta Proton Wira ketika pemeriksaan dilakukan di tempat letak kenderaan di kondominium terbabit pulul 8.30 malam pada hari sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saiful Azly berkata, dua suspek itu dipercayai aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah jenis serbuk MDMA, ketamin, ekstasi dan pil Erimin 5 di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu.

“Semua dadah dirampas itu boleh dibekalkan kepada 39,000 pengguna.

“Kami turut menyita sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM5,000 serta wang tunai berjumlah RM4,700 dalam serbuan sama,” jelasnya.

Tambah Saiful Azly, hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya suspek wanita positif dadah jenis syabu.

“Semakan juga mendapati suspek wanita berkenaan mempunyai rekod berkaitan kes dadah dan mereka direman selama enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya