KOTA BHARU: Ketika negara dilanda pandemik Covid-19, orang ramai semakin tidak memilih dan sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan asalkan dapat menyara diri dan keluarga masing-masing.
Begitu juga dengan Mohamad Fariz Ilham Mohd Zulkilfi, 28, seorang bekas chef di sebuah hotel empat bintang di ibu negara yang kini mengambil upah menggosok pakaian terpakai di Pejabat Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di sini.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, dia baru setahun bekerja di hotel tersebut dan antara kakitangan yang diberhentikan gara-gara pihak pengurusan mengalami masalah kewangan.
“Saya mula melakukan kerja ini sejak sebulan lalu, selepas memikirkan tiada kerja sesuai buat masa ini ditambah pula negara dilanda Covid-19 belum lagi pulih.
“Saya dibayar RM1 bagi sepasang baju yang digosok hasil sumbangan orang ramai yang diletakkan di pejabat POKB sebelum diagih kepada golongan asnaf.
“Sebanyak 100 pasang baju termasuk jubah lelaki yang masih elok untuk dipakai akan digosok dan mengambil masa 10 minit untuk setiap pakaian pada setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, kecuali Jumaat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Menurutnya, semua pakaian terpakai akan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan masih elok untuk dipakai sebelum digosok dan digantungkan dengan baik.
“Ada juga pakaian yang sudah lusuh dan berbau dan ia tidak sesuai serta perlu dibuang,” katanya.
Mohamad Fariz Ilham juga pernah mencari pekerjaan lain di Kuala Lumpur, namun kos sara hidup terlalu tinggi menyebabkan dia mengambil keputusan pulang ke kampung pada Mei lalu dan pernah bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel di bandar ini.
“Selepas Covid-19 berakhir, saya bercadang untuk sambung belajar dalam bidang Diploma Seni Kulinari di Universiti Teknologi Mara ( UiTM) Dungun, Terengganu atau Institut Kemahiran Belia Negara ( IKBN) Kuala Kubu Baru, Selangor dalam bidang pastri,” katanya. -UTUSAN ONLINE