KEMAMAN: Bekas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 317.3, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Kertih, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, Mohd. Aizat Amer Mohd. Rodzuan, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Muhammad Amsya Asyraff Suhaimi, 24, cedera pada kaki dan kepala.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kenderaan Perodua Myvi dipandu Mohd. Aizat Amer dari arah Kuantan, Pahang menuju ke Pasir Mas, Kelantan itu dipercayai hilang kawalan dan merempuh penghadang kiri jalan.
“Impak kemalangan menyebabkan kedua-kedua mangsa tercampak keluar dari kenderaan itu,” katanya kepada pemberita di sini.
Hanyan berkata, mangsa yang berasal dari Jerantut, Pahang kini bekerja di sebuah pasaraya di Pasir Mas dan difahamkan ke Kuantan atas urusan kerja bersama rakannya.
Katanya, sebelum kejadian mangsa dikatakan sempat singgah ke rumah adiknya di Kuantan untuk berjumpa keluarga termasuk ibu pada pukul 2 petang.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala rakannya menerima rawatan di unit kecemasan hospital sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE