SEREMBAN : Bayi lelaki berusia setahun meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu dalam kejadian di rumahnya di Taman Nusa Intan, Senawang dekat sini, pagi tadi.
Menurut bapa bayi tersebut, Md Zarif Md Johari, 36, kejadian itu disedarinya dan isteri, Zurriyati Ishak, 29 kira-kira pukul 4.30 pagi.
Ia selepas kedua-duanya mendengar anak bongsu mereka itu, Zulkarnain terbatuk yang pada ketika itu sedang tidur bersama mereka di atas katil.
“Bila saya bangun saya lihat dia muntah susu dan bibirnya kebiruan. Saya cuba tepuk belakang badannya tapi saya rasaka dia tidak lagi bernafas.
“Saya dan isteri kemudian segera membawanya ke hospital swasta yang terletak berhampiran. Sebaik sampai, kakitangan hospital memberikan bantuan pernafasan namun anak saya disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dekat sini hari ini.
Menurut Md Zarif, anaknya itu baru sahaja keluar dari hospital semalam setelah mengalami demam serta tidak berselera makan.
“Saya reda dengan ketentuan Allah. Tapi sedih kerana saya dan isteri baharu saja menyambut hari lahir arwah bulan lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -UTUSAN ONLINE