Bantuan Perkeso jamin masa depan anak - Utusan Malaysia

Bantuan Perkeso jamin masa depan anak

FUAD Alias (kiri) menjelaskan bantuan yang diberikan kepada Khairunnisak (tiga, dari kiri) sambil diperhatikan Mokhtar (kanan) sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Perkeso di kediamannya di Kampung Seri Melenggang, Astana Raja, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang ibu, Khairunnisak Ashari, 35, kini mampu menarik nafas lega apabila menerima pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hasil caruman arwah suaminya, Mohd Ghazali Akup, 49.

Mohd. Ghazali meninggal dunia selepas 19 hari koma susulan terbabit dalam kemalangan pada 11 November lalu di Bukit Chedang, Kota, dekat sini ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Putrajaya.

Menurut Khairunnisak, sebelum ini dia berasa bimbang dengan masa depan enam anaknya yang masih kecil iaitu dari usia 25 hari hingga ke 14 tahun.

“Tidur malam pun tak lena fikirkan macam mana dengan masa depan anak-anak, sebab saya tidak bekerja dan masih lagi berpantang.

“Jadi bila dapat bantuan bulanan seperti ini saya berasa sangat bersyukur dan untuk anak-anak saya sudah ada jaminan kewangan untuk mereka membesar,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Perkeso di kediamannya di Kampung Seri Melenggang, Astana Raja, dekat sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias; Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Mokhtar Ahmad serta Pengurus Pentadbiran dan Pengurusan Sumber Manusia Jalur Cahaya Sdn. Bhd, Nik Rohana Nik Abdul Rahman.

Sementara itu, Fuad berkata, pihaknya menyampaikan bantuan berupa Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM2,722.50 yang akan diberikan pada isteri mangsa pada setiap bulan.

Menurutnya, bantuan FOT berkenaan merangkumi syer isteri yang akan dibayar seumur hidup dan juga syer anak-anak yang akan dibayar sehingga anak yang paling bongsu berumur 21 tahun atau sehingga ijazah pertama.

“FOT ini merupakan salah satu faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial 1969. Skim ini memberi perlindungan kepada pekerja daripada kecederaan atau kematian akibat dari sebarang kemalangan yang berkaitan dengan pekerjaan.

“Manakala, Faedah Pengurusan Mayat pula adalah amaun yang dibayar kepada waris sekiranya meninggal duia akibat daripada bencana kerja,” katanya.

Menurut Fuad, pihaknya berharap agar bantuan berkenaan akan membantu meringankan beban isteri penerima terutamanya dalam menampung kos membesarkan anak-anak.

Utusan Malaysia pada 4 Disember lalu melaporkan kisah Khairunnisak yang melahirkan anak keenamnya, Dhiya Nuraisha yang merupakan anak perempuan tunggal yang ditunggu-tunggu kelahiran bersama arwah suaminya.

Bagaimanapun, arwah suaminya itu tidak sempat menatap wajah Dhiya yang dilahirkan awal dari tarikh jangkaan pada 15 November lalu susulan Khairunnisak mengalami komplikasi bersalin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya