KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang keempat di Terengganu hampir pulih apabila jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana itu berkurang kepada 824 orang.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 6 petang semalam, penurunan yang direkodkan mencecah 400 orang berbanding 1,218 mangsa pada sebelah pagi.
Katanya, perkembangan positif itu dipengaruhi oleh keadaan cuaca yang baik dan mendung di sebahagian besar daerah di negeri ini.
“Kemaman mencatatkan seramai 657 mangsa membabitkan 160 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).
“Di Dungun pula, mangsa banjir kini tinggal 167 orang membabitkan 51 keluarga yang berada di empat PPS,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Che Adam berkata, lebih ramai penduduk dijangka kembali ke rumah masing-masing hari ini dan seterusnya. -UTUSAN ONLINE