KOTA BHARU: Keadaan banjir di negeri ini bertambah buruk apabila jumlah mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat mendadak kepada 694 orang daripada 180 keluarga.
Portal eBanjir kerajaan negeri merekodkan sehingga pukul 4 petang ini, sebanyak 26 PPS telah dibuka melibatkan tiga daerah iaitu Tanah Merah dengan 10 PPS, Kuala Krai (9 PPS) dan Pasir Mas (7 PPS).
Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 267 orang daripada 70 keluarga, diikuti Kuala Krai (265 orang daripada 65 keluarga) serta Tanah Merah (162 orang daripada 45 keluarga).
Sementara itu, bacaan terkini dipaparkan infobanjir.water.gov.my mendapati paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini mencecah 10.43 meter, melepasi paras bahaya 9 meter.
Paras air Sungai Galas di Limau Manis, Gua Musang pula direkodkan sudah mencecah 59.97 meter, melepasi paras bahaya 59 meter.
Sungai Kelantan di Kusial, Kuala Krai dan Jeti Kastam serta Sungai Golok di Jenob pula kesemuanya sudah melepasi paras amaran menghampiri paras bahaya.
Difahamkan, paras air di kesemua sungai-sungai utama tersebut menunjukkan trend menaik dalam tempoh dua hari ini disebabkan hujan lebat di kawasan hulu.
Jabatan Meteorologi sebelum ini meramalkan hujan lebat melanda seluruh Kelantan selama beberapa hari sebelum dijangka berakhir esok. -UTUSAN ONLINE