Banjir : Lebih 2,000 penduduk Air Putih terputus hubungan - Utusan Malaysia

Banjir : Lebih 2,000 penduduk Air Putih terputus hubungan

BEBERAPA remaja mangambil peluang mengharung banjir di Kampung Padang Kubu di Kemaman hari ini. -UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Lebih 2,000 penduduk di empat kampung di sekitar Air Putih, Hulu Kemaman di sini terputus hubungan sementara selepas beberapa laluan masuk ke perkampungan itu ditenggelami banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Abdul Razak Ibrahim berkata, penduduk yang terjejas ialah di Kampung Batu 16, Kampung Seberang Tayor, Kampung Tebak dan Kampung Paya Mempuyu. 

“Laluan masuk ke beberapa kampung ini mula dinaiki air sejak awal pagi ini selepas air Sungai Tebak dan Sungai Air Putih melimpah ke kawasan rumah penduduk. 

“Beberapa jalan ditutup kepada semua kenderaan ringan dan hanya boleh dilalui kenderaan berat, jadi kita berharap penduduk bersiap-sedia untuk berpindah berikutan situasi hujan yang masih berterusan sejak pagi kelmarin,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini. 

Menurut Abdul Razak, penduduk di kawasan Air Putih disarankan melalui Jalan Mak Lagam, Cheneh atau Jalan Seri Bandi-Ibok sebagai alternatif untuk ke Chukai. 

Sementara itu, seorang penduduk, Halimah Salleh, 61, yang dalam perjalanan menghantar kuih untuk dijual adiknya di Felda Seberang Tayor terpaksa berpatah balik selepas laluan ke kampung tersebut dinaiki air. 

“Saya tidak tahu jalan ini banjir dan terpaksa berpatah balik manakala bekalan kuih-kuih ini mungkin akan dijual kepada jiran-jiran,” katanya. 

Bagi Mohamad Azri Ismail, 26 dari Kampung Dadong, dia terpaksa melalui laluan Jalan Mak Lagam sejauh 50 kilometer untuk ke tempat kerja di Chukai, berbanding laluan biasa yang hanya 25 kilometer. 

“Laluan Mak Lagam memang agak jauh dengan keadaan berbukit dan berselekoh, tetapi saya tiada pilihan lain untuk ke tempat kerja,” katanya. 

Sementara itu, tinjauan di beberapa kampung di Air Putih mendapati penduduk sedang mengemas barang di rumah masing-masing ke tempat lebih tinggi dan bersiap-sedia untuk berpindah.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya