KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menolak dakwaan kejadian banjir di pusat bandar semalam berpunca akibat faktor pembangunan.
Datuk Bandar, Shahidan Embok berkata, taburan hujan luar biasa lebat di samping fenomena air pasang besar yang menyebabkan sebahagian besar kawasan di pusat bandar ditenggelami banjir.
“Banjir berlaku bukan disebabkan kelemahan sistem saliran atau faktor pembangunan tetapi kerana hujan yang lebat dan air pasang besar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hujan lebat dalam tempoh enam hingga lapan jam menyebabkan Terengganu dilanda banjir gelombang ketiga dengan sebahagian besar kawasan di daerah ini termasuk di pusat bandar dinaiki air.
Antara kawasan yang terjejas di pusat bandar ialah premis-premis perniagaan di Pasar Besar Kedai Payang dan Jalan Syed Hussein di hadapan Hentian Bas MBKT di samping rumah penduduk seperti di Jalan Kamarudin dan Jalan Tekukur.
Implikasi hujan lebat bermula pukul 5 petang semalam turut menyebabkan 15 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kembali di daerah ini, Kuala Nerus, Marang, Dungun dan Kemaman.-UTUSAN ONLINE