Bah gelombang kedua landa Kelantan - Utusan Malaysia

Bah gelombang kedua landa Kelantan

SITUASI terkini paras air Sungai Golok di kawasan pangkalan haram Paun di Rantau Panjang, Kelantan.-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan sejak semalam mencetuskan banjir gelombang kedua terutama di bahagian hulu Kelantan dengan kebanyakan kawasan rendah mula dinaiki air sejak malam tadi.

Berdasarkan infobencanaJKM, sehingga pukul 11 pagi ini, sebanyak sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Kuala Krai dan Tanah Merah bagi menempatkan 177 mangsa daripada 44 keluarga.

Daripada jumlah itu, 133 mangsa ditempatkan di enam PPS yang dibuka di Kuala Krai manakala selebihnya di tiga PPS  di Tanah Merah.

Sekretariat Pengurusan Bencana Tanah Merah, Leftenan Pertahanan Awam (PA) Abd Fatah Abd Aziz berkata, semua mangsa berpindah sendiri ke pusat pemindahan apabila air semakin naik di kawasan rumah mereka.

“Semua mangsa banjir yang terlibat tinggal di kawasan perumahan yang rendah dan mudah dinaiki air apabila hujan berterusan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, di Rantau Panjang, hujan lebat sejak semalam menyebabkan air Sungai Golok mulai melimpah dan menenggelam beberapa kawasan rendah di sini.

Antara kampung yang mula menerima limpahan air Sungai Golok ialah Kampung Tersang, Lanchang dan beberapa lagi kawasan berhampiran.

Bacaan terkini dipaparkan infobanjir.water.gov.my mendapati paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini mencecah 9.25 meter, melepasi paras bahaya 9 meter. Paras normal sungai berkenaan ialah 5 meter.

Difahamkan trend air Sungai Golok kali ini naik dengan begitu cepat susulan hujan turun dengan lebat termasuk bahagian hulu sejak kelmarin.

Justeru itu penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya membuat persiapan awal untuk berpindah jika keadaan menjadi lebih buruk.

Setakat ini, tiada lagi PPS di Rantau Panjang diaktifkan.

Sungai-sungai utama lain seperti Sungai Galas di Limau Manis serta Sungai  Kelantan di Jenob, Kusial dan Kuala Krai pula kesemuanya sudah melepasi paras berjaga-jaga. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya