Babi masuk pusat membeli-belah di Putrajaya - Utusan Malaysia

Babi masuk pusat membeli-belah di Putrajaya

SEEKOR babi hutan memasuki premis menjual pakaian sukan di pusat membeli-belah di Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah pusat membeli-belah gempar dengan kemunculan seekor babi memasuki sebuah premis menjual pakaian sukan di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.38 tengah hari berhubung kejadian tersebut serta bergegas di lokasi dan tiba sekitar pukul 12.47 tengah hari.

“Sebaik sahaja sampai di lokasi, terdapat seekor babi berada di sebuah premis di dalam kompleks membeli-belah tersebut. Berikutan itu, anggota bomba membuat kerja menghalau haiwan berkenaan keluar dari permis tersebut.

“Kemudian, babi itu menuju ke arah padang ragbi di Presint 16,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak bomba menghubungi Bahagian Hidupan Liar Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk tindakan selanjutnya.

Pihaknya dimaklumkan setiap hari Ahad, PPj menjalankan operasi menembak babi.

“Pemantauan dijalankan oleh pihak bomba dari segi keselamatan nyawa dan harta benda. Kes tersebut diserahkan kepada pihak PPj,” katanya.

Shaari berkata, seramai lapan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya membabitkan dua jentera turun ke lokasi tersebut bagi menjalankan kerja berkenaan.

Terdahulu, tular beberapa gambar dan video dalam media sosial mengenai kemunculan babi di pusat beli-belah tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN