MACHANG: Orang ramai kecoh apabila seekor babi hutan tersesat dari habitatnya dan merayau mencari makanan di sekitar bandar ini, awal pagi ini.
Suasana itu reda selepas sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) tiba kira-kira pukul 8 pagi dan menghalau haiwan itu ke dalam hutan berhampiran.
Ketua Syif APM Machang, Sarjan Sallehuddin Favillah berkata, pihaknya menerima panggilan seorang peniaga yang terkejut melihat haiwan itu di hadapan kedainya pada pukul 7.50 pagi.
Beliau bersama empat lagi anggota APM bergegas ke lokasi dan cuba menangkap babi hutan tersebut.
“Pihak kami cuba menangkapnya menggunakan jaring namun gagal kerana haiwan itu bertindak agresif.
“Pilihan terbaik ketika itu adalah untuk menghalaunya kembali ke dalam hutan berdekatan dan memastikan ia tidak kembali merayau di kawasan bandar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sallehuddin dalam pada itu memberitahu, tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan dalam insiden terbabit.
Sementara itu, klip video memaparkan babi hutan itu kini tular di media sosial dan mencuri tumpuan warganet.-UTUSAN ONLINE