JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengakui menerima ugutan bunuh kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) baru-baru ini.
Menurut beliau, ugutan itu diterima pihaknya melalui panggilan telefon yang dibuat seorang individu tidak dikenali kepada seorang pegawainya, dua minggu lalu.
Jelasnya, individu dipercayai warga tempatan itu memberitahu ada tiga ahli LTTE dari Selangor akan ke Johor untuk membunuh beliau.
“Ugutan pada saya bukan benda baharu dan saya tidak ambil ringan ugutan seperti ini, sama ada secara peribadi atau terhadap pegawai dan anggota.
“Kita akan jalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti suspek terlibat dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Kelmarin, Ayob Khan mendedahkan dirinya menerima ugutan bunuh oleh kumpulan berkenaan dalam satu program yang dianjurkan sebuah agensi media tempatan.
Menurutnya, polis Johor akan bekerjasama dengan polis Selangor untuk menjalankan siasatan berhubung ugutan diterimanya itu.
Tambah beliau, pihaknya sendiri tidak pasti mengapa ugutan terhadapnya itu dibuat sedangkan beliau sudah tidak menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.
“Saya sendiri tidak pasti sebab apa ugutan itu dibuat kerana saya sudah tinggalkan Bukit Aman sejak Februari lalu, jadi saya tidak tahu kenapa isu ini timbul kembali.
“Sehubungan itu kita akan bekerjasama dengan polis Selangor untuk menyiasat berhubung perkara ini,” tambahnya sambil memberitahu tangkapan akan dibuat sekiranya suspek dikenal pasti. – UTUSAN ONLINE