ATM tahan 9 PATI cuba masuk Bandar Penawar  - Utusan Malaysia

ATM tahan 9 PATI cuba masuk Bandar Penawar 

Anggota 7 Briged mengawal PATI yang cuba memasuki negara menerusi perairan Bandar Penawar,Johor, awal pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perairan Bandar Penawar dekat Johor terus menjadi sasaran pendatang asing tanpa izin dari negara jiran yang mahu memasuki negara ini secara haram.

Bagaimanapun cubaan terbaharu mereka gagal apabila bot yang dinaiki dikesan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada pukul 1.20 pagi sebelum dapat ditangkap dalam operasi dari pukul 2.20 pagi hingga 8.15 pagi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan rasmi memberitahu, kejadian tersebut berlaku di sektor Op Benteng di bawah kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“TLDM telah mengesan terdapat pergerakan bot yang mencurigai menghampiri kawasan persisiran pantai Ladang Sungai Tengah 1, Bandar Penawar,” katanya.

Ekoran itu katanya, pasukan terlibat telah menggerakkan operasi mengesan dan mengepung kawasan berkenaan sebelum berjaya menahan lapan PATI.

“Pada jam 8.15 pagi, hasil penjejakkan di sekitar kawasan berkenaan telah berjaya menahan seorang lagi PATI yang bersembunyi di hutan berhampiran Ladang Sungai Tengah.

“Kesemua PATI yang ditahan merupakan warga Indonesia terdiri daripada tujuh lelaki dan dua perempuan berusia 24 hingga 45 tahun dipercayai baru tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” kata kenyataan itu..

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan ekoran tangkapan itu dianggarkan berjumlah RM14,231.36 melibatkan wang tunai Malaysia RM1,123.85 dan Indonesia 8,901,300.00 Rupiah selain tujuh buah telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas.

Kesemua PATI itu katanya, ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN