Armada kesal krisis politik Perak - Utusan Malaysia

Armada kesal krisis politik Perak

Kos sara hidup
WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melahirkan kekesalan dengan krisis politik yang berlaku di Perak semalam.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keutamaan parti itu buat masa ini ialah memastikan peralihan kepimpinan kerajaan negeri dapat berjalan dengan baik.

“Pendirian Armada juga adalah selari dengan apa diputuskan oleh Biro Politik parti dan saya turut terlibat di dalamnya. Saya boleh kata kita berasa kesal dengan apa berlaku di Perak.

“Bagaimanapun, keutamaan kita pada masa ini untuk memastikan proses transisi Menteri Besar mengikut lunas demokrasi dan undang-undang tubuh kerajaan negeri itu,” jelasnya.  

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan bercakap dalam sidang akhbar selepas sesi penyerahan kit pencegahan Covid-19 dan perlepasan konvoi sukarelawan di sini hari ini.

Acara itu sempena sambutan Hari Kesukarelawan Belia Malaysia 2020 yang dirasmikan secara maya oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Semalam, politik tanah air gempar apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri.

Dilaporkan hanya 10 ahli menyokong beliau daripada keseluruhan 59 anggota dewan itu terhadap usul dibawa ADUN Pengkalan Baru dari Barisan Nasional, Abd. Manaf Hashim.

Ahmad Faizal, 50, yang juga Timbalan Presiden Bersatu  merupakan Menteri Besar Perak ke-12 pada era Pakatan Harapan dan ke-13 setelah Perikatan Nasional ambil alih kerajaan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Bersatu ketika ini lebih mengutamakan untuk menyelesaikan masalah rakyat yang agak perit disebabkan isu penularan wabak Covid-19.

“Inilah yang lebih penting namun apa yang terjadi, sesi pembentangan Belanjawan Perak 2021 pun belum bermula dan diluluskan tetapi Menteri Besar sudah bertukar,” katanya.

Justeru beliau melihat perkembangan politik terkini di negeri itu sebagai tidak patut berlaku pada masa ini dan cukup kesal ketua kerajaannya sendiri berundur dengan cara begitu.

Wan Ahmad Fayhsal bagaimanapun tidak menjelaskan apakah langkah seterusnya bakal dilakukan parti berkenaan sama ada menyokong mana-mana calon Menteri Besar baharu. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya