IPOH: Seorang anggota tentera maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya di Kilometer 278, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Nashrul Hazwan Md. Akhir, 26, yang bertugas di Kem Syed Sirajuddin dekat Gemas, Negeri Sembilan maut di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM Vf3i dan dalam perjalanan ke utara itu melanggar belakang sebuah lori tiga tan di lorong kiri.
Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa dan motosikalnya terbabas di lorong kanan sebelum sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton merempuh mangsa.
“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian. Dua lagi pemandu kenderaan masing-masing lelaki berusia 24 dan 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Tiada tangkapan dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE