Anak, ibu mentua Syafiq selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Anak, ibu mentua Syafiq selamat dikebumikan

MUHAMMAD Syafiq Ahmad sedih ketika mendakap bayi lelakinya yang berusia 22 hari selepas selesai dimandi dan dikafankan di Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang. - UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Jenazah ibu mentua dan bayi lelaki pemain skuad kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Murai, Kampung Padang Pusing di sini malam ini.

Kedua-dua jenazah, Muhammad Aisy Saqeef yang baharu 22 hari dilahirkan, dan Zainab Wahab, 46, dikebumikan dalam satu liang lahat pada pukul 8.25 malam.

Sebelum itu jenazah tersebut tiba di kediaman keluarga isteri Muhammad Syafiq, Nur Amalina Norain, 25, di Kampung Padang Pusing di sini pada pukul 5.55 petang.

Jenazah berkenaan kemudian disembahyangkan di rumah keluarga Nur Amalina sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Muhammad Syafiq memangku jenazah anaknya sambil mengiringi jenazah ibu mentuanya ke tanah perkuburan.

Turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dan ahli keluarga serta penduduk kampung.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi ini, Muhammad Syafiq yang juga penyerang pasukan JDT terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dalam kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan di Sungai Bakap.

Kemalangan turut mengakibatkan ibu mentua Muhammad Syafiq, Zainab dan warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an maut.

Sementara, Muhammad Syafiq dan seorang lagi anak, Aaira Nur Saffiya, cedera ringan manakala isterinya, Nur Amalina dilaporkan cedera parah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN