Pengusaha barangan runcit ambil untung hanya 50 sen

Ambil untung hanya 50 sen

NUR Syahidah Mohamad melayan pelanggan yang membeli produk makanan di kedainya, Bunga Manis Frozen Mart di Seremban 2, Seremban. – FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pengusaha barangan runcit dan produk sejuk beku di Seremban 2 dekat sini mengakui hanya mengambil keuntungan sekitar 50 sehingga 70 sen bagi setiap bara­ngan yang dijualnya dengan niat membantu golongan memerlukan.

Abdul Aziz Akbar, 56, pengusaha Bunga Manis Frozen Mart berkata, kedainya menampilkan harga yang murah ke atas barangan runcit keluaran tempatan yang dijualnya termasuk produk-produk dari Pantai Timur dan dari negara Asia barat.

Jelasnya, dengan harga rendah yang ditawarkan, ia membolehkan orang ramai terutama yang terkesan dengan penula­ran Covid-19 mendapatkan pelbagai produk makanan berkua­liti dengan harga mampu milik di kedainya itu.

“Idea kami nak tolong orang, hendak bagi harga yang jauh lebih murah. Kami hanya ambil margin keuntungan sekadar beberapa puluh sen sahaja, pe­langgan pun gembira, walaupun keuntungan sedikit itu pun kami sudah rasa berbaloi,” katanya.

Dia ditemui Mingguan Malaysia di kedainya yang terletak di Pusat Komersial Oakland, Se­remban 2 dekat sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Aziz, kedai yang diusahakan bersama isteri, Nur Syahidah Mohamad, 34, itu juga menawarkan produk yang dihasilkan pengusaha industri kecil dan sederhana.

“Pelbagai produk makanan sejuk beku yang dijual juga diambil daripada beberapa peniaga kecil, kami juga menerima beberapa sampel makanan se­perti karipap dan kuih tradisio­nal lain.

“Bagi kami, jika makanan sedap dan berkualiti, saya akan beri peluang peniaga kecil ini meletakkan produk mereka di kedai kami,” katanya memperuntukkan modal sebanyak RM100,000 untuk memulakan perniagaan tersebut.

Tambahnya, apabila dia dapat menawarkan harga-harga produk dengan harga lebih rendah berbanding pasar raya lain, ia seperti satu kepuasan kepadanya untuk berniaga.

“Sebagai contoh, buat masa ini, saya dapat menawarkan satu papan telur 30 biji dengan harga RM9.20, susu jenama Marigold RM3.98 sekotak dan kuih muih sejuk beku dari Kelantan serendah RM5.90.

“Cara kami ialah dengan me­ngambil keuntungan serendah 50 sehingga 70 sen sahaja,” katanya yang memberitahu mencapai jualan keseluruhan sehingga RM4,000 sehari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya