Kes bunuh Altantuya: Azilah tetap digantung

Altantuya: Azilah tetap digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini sebentar tadi menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh bekas pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri bagi mengetepikan sabitan serta hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dengan perintah itu, hukuman gantung yang diputuskan terhadap Azilah, kekal.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed yang mengetuai panel lima hakim bersidang memutuskan demikian secara sebulat suara selepas berpuas hati bahawa Azilah tiada alasan kukuh bagi membolehkan mahkamah membenarkan semakannya.  

Azilah memfailkan permohonan untuk semakan pada 5 Disember tahun lalu bersama-sama akuan berkanun setebal 32 muka surat yang mendakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya adalah daripada Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Azilah, 43, meminta agar sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 diketepikan dan perintah agar kes itu dibicarakan semula.

Azilah dan Sirul Azhar Umar, 47, telah disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pertuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.

Mereka bagaimanapun telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua bekas anggota UTK itu.

Selepas dibebaskan, Sirul Azhar telah melancong di Australia dan kini berada dalam tahanan imigresen selepas visa dan pasportnya tamat tempoh dan kini berada di Pusat Tahanan Villawood, Sydney.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya