Aktiviti pelancongan outdoor, taman tema dibenarkan - Utusan Malaysia

Aktiviti pelancongan outdoor, taman tema dibenarkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Aktiviti pelancongan di tempat terbuka  seperti Zoo Negara dan taman tema dibenarkan dibuka kepada orang awam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam sebagaimana cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Bagaimanapun, katanya, kementerian berkenaan diminta untuk membentangkan prosedur operasi standard (SOP) terperinci berhubung pembukaan aktiviti pelancongan lain setelah berbincang dengan kementerian Kesihatan dan MKN.

“Kementerian Belia dan Sukan juga semalam membentangkan kepada Sidang Khas  MKN berhubung cadangan untuk pembukaan aktiviti sukan terutamanya melibatkan sukan outdoor. 

“Walau bagaimanapun, Kementerian itu  turut diminta untuk menggariskan SOP terperinci,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, berhubung tempoh kuarantin wajib yang dipendekkan kepada 10 hari, bagi pengembara yang ingin pulang ke  Malaysia, mereka perlu melakukan ujian saringan Covid-19 dalam tempoh  tiga hari sebelum berlepas pulang.

Katanya, ujian berkenaan juga perlu dibuat selepas tiba di Malaysia dan mereka akan dikuarantin selama tujuh hari. 

“Namun, jika pengembara tidak dapat melakukan ujian saringan sebelum berlepas pulang, mereka perlu berbuat demikian sejurus tiba di negara ini dan jika didapati negatif, mereka  perlu menjalani kuarantin wajib maksimum 10 hari,” katanya. 

Menurut beliau, secara kumulatif sejak 24 Julai lalu, seramai 86,344 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa. 

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 10,203 individu sedang  menjalani kuarantin wajib di 74 hotel dan 17 premis lain, manakala 528 individu pula dibawa ke hospital untuk rawatan selain 75,613 individu dibenarkan pulang ke rumah. 

“Semalam, seramai 693 individu tiba di semua pintu masuk  antarabangsa negara dan kesemuanya dikuarantin  wajib di stesen kuarantin seluruh negara,” katanya.  

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, sejak April hingga semalam, sebanyak 13,933  jumlah pemeriksaan dilakukan oleh anggota  penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan  Malaysia (CIDB) melibatkan 7,975 tapak binaan di  seluruh negara.  

Semalam, anggota penguatkuasa telah membuat  pemeriksaan di 17 tapak binaan di seluruh negara dan kesemua 17 tapak pembinaan yang diperiksa mematuhi SOP,” katanya. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sejak permulaan saringan Covid-19 pekerja asing oleh Kementerian Sumber Manusia diwajibkan sejak 1 November lalu di beberapa negeri, hampir 17,000 golongan itu disaring. 

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 555 pekerja asing positif manakala 16,400 didapati negatif melalui saringan di 663 industri terlibat.

“Kita menyeru majikan supaya bekerjasama dalam tindakan membuat saringan pekerja mereka bagi mengelak risiko kerugian lebih besar akibat penutupan operasi sekiranya ada antara pekerja mereka positif.

“Kerajaan juga akan melihat dari sudut perundangan untuk mengambil tindakan kepada majikan yang enggan bekerjasama dalam hal ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya