PUTRAJAYA: Menjelang hari terakhir penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali di beberapa kawasan, ramai ditahan kerana leka prosedur operasi standard (SOP).
Ini terbukti apabila pihak polis yang mengetuai Task Force Operasi Pematuhan itu menahan 518 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan di seluruh negara semalam.
“Daripada jumlah itu, seramai 193 individu kerana gagal mematuhi arahan jarak fizikal,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menambah, 119 lagi ditahan kerana didapati melakukan aktiviti di pusat hiburan diikuti 71 pula tiada memakai pelitup muka dan 59 gagal menyediakan peralatan merekod butiran.
Baki 77 individu ditahan kerana pelbagai kesalahan dan daripada keseluruhan angka tersebut, 517 dikompaun RM1,000 manakala seorang individu pula direman pihak polis.
Sejumlah 58,644 pemeriksaan telah dilakukan bagi memantau pematuhan SOP semalam melibatkan 2,362 pasukan yang meliputi 11,682 anggota penguat kuasa di seluruh negara.
Ismail Sabri berkata, ini membabitkan 3,543 premis pasar raya, 4,880 restoran, 1,623 penjaja, 1,293 kilang, 3,377 bank, 508 pejabat kerajaan dan 1,024 buah terminal pengangkutan darat.
“Turut dipantau ialah 237 terminal pengangkutan air dan 62 terminal pengangkutan udara,” jelas beliau sambil menambah sejumlah 292 sekatan jalan raya juga dilaksanakan semalam. – UTUSAN ONLINE