Aiman rindu panggilan 'ibu' - Utusan Malaysia

Aiman rindu panggilan ‘ibu’

Muhammad Aiman Sazali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU – Rindu dengan panggilan seorang ibu.

Demikian luahan anak tunggal kepada mangsa serangan ‘ombak besar’ tsunami, Muhammad Aiman Sazali, 19, yang mengorbankan ibunya, Irdawati Sahimi ketika sarat mengandung tujuh bulan pada 26 Disember 2004.

Menurut, Muhammad Aiman, walaupun tragedi itu berlaku ketika dia berusia tiga tahun, namun dia masih tidak dapat melupakan pengorbanan ibunya yang sedaya-upaya menolaknya naik ke atas tebing bagi menyelamatkannya daripada dibawa arus ombak besar setinggi pokok kelapa.

“Saya rindu nak panggil ibu. Saya dibesarkan tanpa seorang ibu. Saya akui ada sedikit rasa cemburu apabila melihat kawan-kawan lain bahagia disamping keluarga masing-masing.

“Masih teringat lagi waktu kejadian berlaku walaupun ketika itu usia saya masih kecil. Ibu cepat-cepat menolak saya naik ke atas tebing dan kemudiannya saya menyorok di belakang pokok besar selepas melihat ombak besar mai (datang) dari tengah laut. Saya menangis sambil meminta tolong seorang peniaga minuman di situ.

“Tolong ibu, tolong ibu, ombak mai (datang), pak cik itu tidak mempedulikan saya. Dia cepat-cepat menyimpan peralatan gerainya masuk ke dalam kereta jenis Proton Saga merah dan terus pergi.

“Saya tidak dapat ingat apa yang berlaku selepas ibu turun semula ke pantai dan ombak besar bawa ibu,” katanya yang hanya mengingati seluruh badan dan kepalanya penuh dengan lumpur kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Aiman yang bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas sejak tujuh bulan lalu itu menetap bersama neneknya, Noridah Mohd. Noor, 59, sejak kematian ibunya 16 tahun lalu.

“Saya kini bergantung kasih dengan nenek, bapa dan emak saudara. Dialah umi, dialah juga emak saya. Sakit demam saya dia yang uruskan sejak dari kecil sehinggalah sekarang.

“Saya tidak pernah rasa kasih sayang daripada seorang ibu. Saya reda dengan ketentuan Illahi. Setiapa apa yang berlaku mengajar saya erti kematangan,” luahnya dalam nada sebak. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya