BALING: Pembiayaan pinjaman sebanyak RM25.4 bilion yang disediakan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebelum ini berjaya membantu mengurangkan kemiskinan dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah di seluruh negara.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, konsep pembiayaan AIM dengan syarat yang mudah didapati membantu golongan yang berdepan masalah untuk membuat pinjaman dengan institusi kewangan.
“AIM adalah penyelesaian terbaik kepada seseorang yang ingin memulakan perniagaan jika tiada modal dan berhadapan masalah untuk membuat pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Bakul Kasih AIM cawangan Baling di sini, hari ini.
Malah, Abdul Azeez berkata, beliau berbangga AIM juga tidak mengabaikan kaum dan suku lain termasuk Cina dan India serta suku kaum yang ada di Sabah dan Sarawak.
“Semua kaum dan suku layak untuk mendapat manfaat yang sama daripada bantuan AIM,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Azeez berkata, beliau juga menyarankan golongan wanita merebut peluang mendapatkan pinjaman AIM sekiranya ingin memajukan lagi perniagaan masing-masing.
“Rebutlah peluang ini kerana melalui AIM, orang ramai akan mendapat kemudahan kewangan dan geran yang disediakan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, tambahnya, semua sahabat AIM pula perlu meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran agar selari dengan keadaan dan keperluan semasa.
“Sahabat AIM khususnya di Parlimen Baling perlu menjadi usahawan contoh yang boleh mengharumkan nama hingga ke peringkat antarabangsa,* katanya lagi. – UTUSAN ONLINE