IPOH: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijadual menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini pada pukul 4 petang ini.
Difahamkan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim juga akan menghadap Sultan Perak.
Mohamad Zahir akan menyembah maklum berhubung keputusan usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal yang diputuskan dalam sidang DUN Perak pagi tadi.
Dalam sidang DUN pagi tadi, Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada ahli dewan dalam undi usul percaya terhadap beliau.
Dalam undian daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.
Usul tersebut dibawa ADUN Pengkalan Baru dari UMNO, Abd. Manaf Hashim.
Pada awalnya, usul tersebut disenarai untuk dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak dalam persidangan DUN yang bermula hari ini.
Bagaimanapun dua usul tergempar yang dibawa Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji) kepada DUN diterima Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid. – UTUSAN ONLINE