JOHOR BAHRU: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan cuba memberi rasuah sebanyak RM45,000 kepada seorang pegawai polis di sebuah pusat hiburan di Ulu Tiram, minggu lalu.
Samudin Kambali, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis hiburan di Todays Mall, Jalan Kota Tinggi, Ulu Tiram pada pukul 12.35 tengah malam, 2 Disember lalu.
Tertuduh didakwa cuba memberi suapan RM45,000 kepada seorang pegawai kanan polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Superintenden Saifullah Jaya@Yahya untuk tidak mengambil tindakan terhadap 65 individu yang ditahan bagi menjalani ujian saringan air kencing.
Suapan tersebut juga sebagai dorongan supaya polis tidak mengambil tindakan atas kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun dalam pendakwaannya memohon mahkamah memberikan jaminan bernilai RM40,000 dan tertuduh perlu melapor diri pada SPRM setiap bulan.
Peguam tertuduh, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri dalam rayuannya, memohon agar dikurangkan jaminan kerana tertuduh menanggung lapan anak selain memberi kerjasama sepanjang ditahan reman.
Kamarudin menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh perlu melapor diri kepada SPRM pada setiap awal bulan selain passport perlu diserah kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 20 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan. – UTUSAN ONLINE