ADUN Bersatu tetap sokong pelantikan MB baharu - Utusan Malaysia

ADUN Bersatu tetap sokong pelantikan MB baharu

AHMAD Faizal Azumu (kiri) menyampaikan cek bantuan persekolahan kepada wakil sebuah Sekolah Persendirian Cina (SUWA) di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin semua wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak dan ADUN Bebas akan memberi sokongan pelantikan menteri besar yang baharu.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata, beliau dan kesemua empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu membuat keputusan secara bersama.

Menurutnya, konsensus dicapai dalam kalangan ADUN Bersatu untuk menyokong pelantikan menteri besar baharu kerana memikirkan kepentingan bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Apa jua keputusan yang kami buat adalah secara bersama, kita akan buat secara konsensus.

“Saya yakin dengan disiplin ahli parti kami termasuk rakan-rakan dari (ADUN) Bebas, saya kira kami dari Bersatu saya boleh katakan kami buat keputusan dengan memikirkan kepentingan bersama rakan-rakan dalam PN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan RM900,000 kepada sembilan Sekolah Persendirian Cina (SUWA) di sini, hari ini.

Mengenai kedudukan dua Exco kerajaan negeri dari Bersatu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas pelantikan menteri besar yang baharu.

“Perkara itu akan dibincangkan berlandaskan kehendak parti tanpa meminggirkan keperluan rakyat,” katanya.

Bersatu mempunyai dua exco kerajaan negeri iaitu ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohd. Radzi serta ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN) 25, Bersastu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5 dan masing-masing satu kerusi milik Gerakan dan Bebas.

Dalam sidang DUN semalam, Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada ahli dewan dalam undi usul percaya terhadap beliau.

Dalam undian daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali. 

Usul tersebut dibawa ADUN Pengkalan Baru dari UMNO, Abd. Manaf Hashim.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya